Monday, August 13, 2007

Pusat Akses Sekolah

Selamat Datang Ke
Pusat Akses
Sekolah Kebangsaan Sungai Behrang


Apakah itu Pusat Akses Sekolah?

Pusat Akses Sekolah mengamalkan konsep ala "cyber cafe" tetapi lebih menjurus kepada pembelajaran. Ia merupakan satu ruang pembelajaran yang disediakan bagi membolehkan murid membuat pembelajaran secara kendiri (self learning) dan mempelbagaikan gaya pembelajaran mereka. Murid boleh mencari dan memilih sumber pembelajaran secara sendiri mengikut kadar kendiri, terarah kendiri dan akses kendiri.

Apakah matlamat Pusat Akses Sekolah?

Matlamat Pusat Akses Sekolah ialah untuk:

  • Membudayakan penggunaan ICT di sekolah
  • Mengurangkan nisbah komputer dengan murid
  • Meningkatkan masa penggunaan (contact hours) komputer oleh murid

Apakah objektif Pusat Akses Sekolah?

Objektif Pusat Akses Sekolah ialah untuk:

  • Meningkatkan kemahiran murid dalam mencapai maklumat
  • Membolehkan murid melaksanakan pembelajaran kadar kendiri, terarah kendiri dan akses kendiri dengan lebih berkesan
  • Meningkatkan penggunaan dan penguasaan kemahiran ICT murid untuk pengajaran dan pembelajaran

Bagaimanakah Pusat Akses Sekolah beroperasi?

Pusat Akses Sekolah beroperasi semasa dan selepas waktu persekolahan. Ia juga digalakkan beroperasi pada hujung minggu dan cuti sekolah dengan syarat ada pengawasan oleh pihak sekolah yang boleh menjamin keselamatan peralatan dan boleh memantau penggunaan.

Apakah aktiviti murid di Pusat Akses Sekolah?

Murid boleh menggunakan Pusat Akses Sekolah ini untuk:

  • Mencari maklumat daripada Internet untuk pengajaran dan pembelajaran
  • Mengakses sumber maklumat seperti buku-buku, bahan bercetak atau bahan digital yang berkaitan (e-Learning)
  • Menyediakan tugasan dan slaid persembahan berkaitan dengan pembelajaran
  • Berkomunikasi dengan guru dan murid lain melalui e-mel
  • Berkolaborasi dengan murid lain

Siapa boleh menggunakan kemudahan Pusat Akses Sekolah?

Keutamaan menggunakan kemudahan Pusat Akses Sekolah diberikan kepada murid. Warga sekolah lain termasuk pentadbir sekolah, guru, dan staf sokongan boleh menggunakan kemudahan Pusat Akses Sekolah untuk memperoleh maklumat dari Internet.